
Watford tangguh bayaran gaji
LONDON,. Watford menjadi pasukan terbaharu Liga Perdana yang bersetuju dengan pelan penangguhan gaji bersama pemain bagi membantu mengurangkan krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.
Southampton, West Ham dan Sheffield United juga bersetuju dengan penangguhan itu manakala pemain Arsenal menerima potongan 12.5 peratus gaji selama setahun.
Liga Perdana bimbang kegagalan menamatkan musim akan menyebabkan kelab bakal kerugian kira-kira £1 bilion pound (RM5.38 bilion).
“Ia menunjukkan kita bersatu yang kami tahu penyokong dan komuniti Watford yang lebih luas akan menghargainya, dan menunjukkan kesedaran diperlukan setiap orang untuk saling bekerjasama dalam tempoh mencabar ini,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Watford, Scott Duxbury.
“Kami bangga pemain mengambil langkah ini. Mereka sedar perlu memainkan peranan dan tidak teragak-agak mengambil keputusan untuk kebaikan keseluruhan kelab.”
Skuad Hornets berkedudukan ke-17 Liga Perdana, di luar zon penyingkiran berdasarkan perbezaan gol apabila perlawanan ditangguhkan kerana krisis kesihatan umum. – AFP