WHO isytihar wabak COVID-19 pandemik

GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, semalam, sekali gus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.

Secara umum, pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata virus berkenaan telah menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dan meragut 4,291 nyawa, setakat ini, bahkan angka terbabit dijangka terus meningkat.

“Kami sangat khuatir dengan tahap penularan dan keadaan wabak ini yang teruk, serta tindakan tidak mencukupi yang membimbangkan

“Sehubungan itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh disifatkan sebagai satu pandemik,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi mahupun menjelaskan pendekatan lanjut diperlukan.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa semua negara perlu mengambil tindakan segera dan agresif untuk mengekang serta memerangi virus berkenaan.

“Kami tidak pernah melihat pandemik dicetuskan oleh coronavirus sebelum ini,” katanya.

Jumlah kes COVID-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara yang terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian, setakat ini.

Tedros berkata, Itali dan Iran sedang berada ‘di barisan hadapan’ dan menderita akibat penularan wabak itu.

“Namun, negara lain akan berada dalam situasi berkenaan, tidak lama lagi,” katanya.

Penularan COVID-19 menyaksikan Britain dan Itali yang semakin bimbang akan impaknya terhadap bidang ekonomi, telah mengumumkan peruntukan berbilion dolar untuk memerangi penyakit itu, manakala Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan langkah baharu untuk tujuan sama.

Krisis wabak itu semakin mencengkam Eropah dengan Ireland, Albania, Belgium, Sweden serta Bulgaria mencatat kematian pertama, semalam, manakala Itali merekodkan lebih 2,300 kes baharu dalam tempoh 24 jam dan jangkitan di Sepanyol pula melonjak hingga kini mencecah lebih 2,100 mangsa.

Sementara itu, Ketua Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, pula berkata penggunaan perkataan ‘pandemik’ tidak akan mengubah tindak balas agensi berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, terdapat unsur kawalan yang kukuh dan peluang sebenar untuk mengurangkan angka kes COVID-19. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )