YADIM sasar 30,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Sabah

YADIM sasar 30,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Sabah

SANDAKAN,. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan 30,000 bantuan bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Pengarah YADIM Negeri Samin Ongki berkata setakat ini, seramai 10,000 penduduk telah menerima manfaat bantuan itu dengan baki 20,000 bakul lagi dijangka dapat diagihkan menjelang hujung tahun ini.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban masyarakat yang amat memerlukan, khasnya golongan kurang berkemampuan, sakit (di rumah) atau hilang pekerjaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyampaian 50 bakul makanan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, di sini hari ini.

Samin juga berkata YADIM akan menyampaikan 50 lagi bakul makanan di DUN Sungai Sibuga.

Dalam program berasingan, UMNO Bahagian Libaran akan mengagihkan 15,000 bakul makanan dalam Parlimen Libaran melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Gum-Gum, Sungai Sibuga dan Sungai Manila.

ADUN dilantik Suhaimi Nasir berkata beliau bersama ADUN Sungai Sibuga Hamsan Awang Supain dan ADUN Sungai Manila Mokran Ingkat akan mengagihkan bantuan bakul makanan itu secara berperingkat atas keterbatasan pihak pembekal untuk menyiapkan barangan dalam tempoh yang singkat.

“Kami menyedari cabaran pihak pembekal untuk menunaikan permintaan kami, walaupun barangan tersebut telah dibayar.

“Ini kerana pihak pembekal juga perlu akur kepada prosedur operasi standard dalam membendung penularan COVID-19 dan terpaksa membataskan bilangan pekerja mereka untuk bertugas pada satu-satu masa,” jelasnya, sambil menambah sebanyak 2,000 bakul telah diagihkan sejak semalam.

Suhaimi turut memberitahu bakul makanan itu diagihkan kepada sesiapa sahaja penduduk kawasan Libaran tanpa mengira latar belakang.

“Kami bukan sahaja laksanakan pengagihan bantuan makanan atas dasar kemanusiaan, tetapi juga untuk memastikan pergerakan dalam kalangan masyarakat dibataskan agar COVID-19 tidak menular dengan lebih meluas lagi,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This