
Zaharah tampung perbelanjaan jaja sayur, kuih tradisional rumah ke rumah
PASIR PUTEH, 28 Sept — Bermula dengan menjaja lima hingga 10 ikat kacang panjang sehari yang dipungut hasil tanaman sekeliling rumah kepada jiran-jirannya, kini seorang petani boleh menarik nafas lega apabila berjaya memasarkan 40 jenis sayur-sayuran dan kuih-muih tradisional dengan pendapatan kira-kira RM300 sehari.
Zaharah Yusuf, 50, berkata beliau tidak menyangka hasil usahanya menjaja menggunakan motosikal dari rumah ke rumah sejak lapan tahun lepas di sekitar Kampung Telaga Gayong, Taman Kobena, Sri Aman dan Jerat Semata membuahkan pulangan walaupun pendapatannya tidak sebesar mana tetapi mampu membesar dan menyekolahkan lapan orang anak.
“Sambutan penduduk (khususnya suri rumah) sangat menggalakkan terutama mereka yang tidak mampu keluar ke bandar Pasir Puteh untuk membeli barang-barang keperluan dapur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nara di sini, hari ini.
Zaharah berkata barangan yang dipasarkan itu termasuklah kuih-muih, ulam-ulaman, sayur-sayuran, keropok dan lauk-pauk seperti gulai udang campur keladi.
“Banyak barangan yang saya jual itu harganya 50 peratus lebih murah berbanding dengan harga yang dijual di pasaran tempatan kerana saya memperoleh bekalan terus daripada penduduk kampung, selain hasil usaha saya sendiri,“ katanya.
Rutin perniagaan harian Zaharah bermula seawal pukul 9.30 pagi dari rumahnya di Kampung Nara sehinggalah habis barangan jualannya.
Menurut beliau, pendapatan yang diperoleh itu dapat menampung perbelanjaan seharian keluarga dan mengurangkan beban kewangan suaminya, Che Azmi Abu Bakar, 66, seorang penjual ayam di Pasar Jelawat, Bachok.
Katanya hasil daripada kegigihannya itu, tiga daripada anaknya telah tamat pengajian di menara gading, masing-masing di Universiti Malaysia Sabah (Unimas), Universiti Malaysia Perlis (UMP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, seorang pelanggan tetapnya dari Kampung Telaga Gayong, Siti Esah Muhammad, 73, berkata sebilangan besar barangan keperluan harian keluarganya dibekalkan oleh Zaharah.
“Setiap dua hari sekali saya menunggu kedatanganya di beranda rumah untuk mendapatkan barangan keperluan yang harganya lebih murah dan segar,” katanya.
Siti Esah, seorang pesara kerajaan, berkata kedatangan Zaharah banyak membantunya untuk mendapatkan barangan keperluan disebabkan dia menghidap kencing manis dan tidak mampu untuk mendapatkan bekalan di bandar Pasir Puteh yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumah.
— BERNAMA