Zaqhwan dominasi Litar Antarabangsa Chang

Zaqhwan dominasi Litar Antarabangsa Chang

KUALA LUMPUR,. Pelumba Honda Asia-Dream Racing Team with Showa Mohd Zaqhwan Zaidi berjaya mendominasi perlumbaan pertama kategori Asian Superbikes 1000 (ASB1000) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Thailand.

Pelumba berusia 27 tahun itu mengungguli perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang membabitkan 13 pusingan sejauh 59.202 kilometer (km) dengan catatan masa 21 minit dan 04.947 saat (s).

Zaqhwan, yang bermula di petak pertama, meninggalkan pelumba tuan rumah Anupab Sarmoon di tempat kedua (21:05.471s) dan Haruki Nogochi dari Jepun di tempat ketiga dengan catatan masa 21:05.480s.

“Pada mulanya, saya berdepan kesukaran memastikan ia (motosikal) stabil kerana suhu amat panas dan saya cuba mengekalkan kedudukan di belakang mereka. Saya cuba memintas pelumba lain satu demi satu,” katanya kepada media ARRC selepas perlumbaan itu.

Pelumba muda negara Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dari pasukan Pitsbike JRT Oneway turut berjaya melakar kemenangan dalam kategori Underbone 150 (UB150) dengan catatan masa 16:43.348s yang membabitkan lapan pusingan.

Mohd Izzat Zaidi meninggalkan dua pelumba Indonesia Muhammad Yordan Badaru di tempat kedua yang mencatat masa (16:43.588s) dan Wahyu Aji Trilaksana (16:43.942s).

Kategori Supersport 600 (SS600) pula menyaksikan Muhammad Helmi Azman dari pasukan Boon Siew Honda Racing berada di tempat kedua dengan catatan masa 20:03.234s.

Muhammad Ibrahim Norrodin dari Sepang International Circuit Racing (20:03.742s) meraih tempat ketiga manakala Andi Farid Izdihar dari Indonesia (20:02.754s) muncul juara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This