Zii Jia enggan kecundang kali keenam

Zii Jia enggan kecundang kali keenam

KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak rela terus menjadi ‘mangsa’ kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie sekali gus menjadi penghalang terhadap usahanya melangkah jauh pada penampilan pertama di Seluruh England bermula Rabu ini.

Zii Jia yang berada di kedudukan ranking ke-15 dunia berdepan laluan berliku di Birmingham apabila diundi bertemu pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu pada pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Zii Jia tewas semua lima perlawanan di tangan Jonatan.

“Memang sukar apabila menentang pemain seperti Jonatan kerana dia memiliki kekuatan fizikal yang baik. Saya sudah tewas sebanyak lima kali sebelum ini dan memang saya akui banyak melakukan kesilapan sepanjang pertemuan dengan Jonatan.

“Namun, kali ini saya harap boleh mengubah keputusan itu sekali gus boleh melangkah lebih jauh pada saingan Seluruh England kali ini,” kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Rakan senegara Cheam June Wei mungkin boleh menjadi sumber inspirasi buat Zii Jia selepas pemain itu berjaya mencipta kejutan menewaskan Jonatan ketika final Kejohanan Berpasukan Asia menentang Indonesia di Manila, Filipina, bulan lalu.

Namun, Zii Jia enggan menjadikan kemenangan dilakar June Wei sebagai beban tambahan buat dirinya untuk turut menewaskan lawan dari Indonesia itu, sebaliknya dia mahu menggunakan caranya yang tersendiri.

“Setiap pemain mempunyai cara yang berbeza. Tidak boleh bandingkan saya dengan June Wei… disebabkan June Wei pernah menang ke atas Jonatan sebelum ini, jadi saya pun perlu menang.

“Saya tidak mahu fikir begitu. Saya perlu guna cara saya sendiri menewaskan Jonatan,” kata Zii Jia.

CATEGORIES
TAGS
Share This