Zulkifli ucap tahniah ulang tahun ke-18 penubuhan Meja Bahasa Arab Bernama

Zulkifli ucap tahniah ulang tahun ke-18 penubuhan Meja Bahasa Arab Bernama

KUALA LUMPUR,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena ulang tahun ke-18 penubuhan Meja Bahasa Arab agensi berita itu.

Beliau berkata penubuhan perkhidmatan itu mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara Arab, khususnya dalam menyampaikan maklumat.

“Saya (Zulkifli) juga ingin mengucapkan tahniah atas usaha gigih dalam memartabatkan Bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran yang mulia. Saya ingin menyeru mereka untuk mempergiatkan usaha demi mencapai lebih banyak kejayaan dalam memberi perkhidmatan kepada Malaysia dan negara Arab,” katanya di dalam satu kenyataan berbahasa Arab yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Zulkifli versi Bahasa Arab hari ini.

Bernama menubuhkan portal Bahasa Arab pada 24 Okt 2002 bagi menyalurkan berita mengenai politik, ekonomi, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan hal ehwal agama Islam kepada 18 pertubuhan berita di negara-negara Arab.

Portal itu mengandungi terjemahan berita, rencana dan laporan khas yang dihasilkan Bernama serta petikan akhbar berwibawa yang ada kaitan dengan perkembangan Islam di Malaysia atau relevan kepada hubungan antara Malaysia dan negara-negara Arab.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This