Zuraida diterima PBM, bakal dilantik sebagai presiden

Zuraida diterima PBM, bakal dilantik sebagai presiden

KUALA LUMPUR,. Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin diterima sebagai anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan terus diangkat sebagai bakal presiden parti.

Presiden PBM Larry Sng berkata Biro Politik dan Majls Tertinggi parti memutuskan untuk meluluskan permohonan kemasukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ke dalam PBM, yang diterima pada 26 Mei lepas.

Beliau berkata Zuraida juga dinobatkan sebagai bakal presiden parti sebagaimana yang diinginkan oleh akar umbi, dan akan menerajui parti dalam menentukan hala tuju politiknya.

“Semasa ketiadaan saya, beliau akan menerajui parti. Saya juga telah memberikan mandat kepadanya untuk mengetuai delegasi serta pemimpin parti, dari segi kemasukan parti untuk menyertai mana-mana pakatan politik,” katanya dalam persidangan media di sini.

Katanya dalam menghormati hak prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan Zuraida sebagai menteri, parti itu berharap Zuraida akan dikekalkan dengan jawatan itu, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan PBM kepada kerajaan.

“PBM adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan kami menyokong perdana menteri. Soal berhubung kedudukan menteri, kita serahkan kepada prerogatifnya.. PBM harap perdana menteri akan mengekalklan kedudukan Zuraida sebagai menteri berdasarkan kepada prestasinya dan sokongan yang diberikan PBM kepada kerajan,” katanya.

Pada 26 Mei lepas Zuraida mengumumkan keputusannya menyertai PBM, dan katanya beliau akan berjumpa dengan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai kedudukannya dalam kabinet.

Sementara itu Zuraida berkata beliau masih belum menemui perdana menteri untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Saya belum dapat tarikhnya kerana Perdana Menteri sedang sibuk. Dia sekarang berada di Kedah untuk berjumpa dengan Sultan Kedah dan saya masih lagi menunggu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This