Aidilfitri: Polis kenal pasti 66 ‘blackspot’, perketat pemantauan Op Selamat di Kelantan

Aidilfitri: Polis kenal pasti 66 ‘blackspot’, perketat pemantauan Op Selamat di Kelantan

KOTA BHARU,. Polis Kelantan mengenal pasti 66 lokasi ‘blackspot’ iaitu kawasan kerap berlaku kemalangan dan 41 lokasi ‘hotspot’ yang sering mengalami kesesakan sepanjang Op Selamat Aidilfitri 2025, dengan pemantauan ketat di jalan utama seperti Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Jeli.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tiga laluan utama masuk ke negeri itu iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli juga dijangka mengalami peningkatan kenderaan dan pihaknya telah menyediakan pelan pengurusan trafik bagi mengurangkan kesesakan.

“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, polis menubuhkan Skuad Khas Jamed dan Lancar di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah yang akan bertindak segera sekiranya berlaku kesesakan. Sebanyak 128 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ditugaskan dengan penggiliran 24 jam di 103 lokasi berisiko.

“Sebagai langkah penguatkuasaan, operasi tahun ini memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan antaranya memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menyantuni Petugas dan Anggota Trafik, di sini, pada Sabtu.

Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan sikap cuai pemandu yang boleh mengancam nyawa dan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan jalan raya.

Sehubungan itu, Mohd Yusoff mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang, terutama ketika melalui kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kemalangan.

Beliau berkata, orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat mengenai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan luar biasa sepanjang musim perayaan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This