Bekalan air di Batang Padang, Hilir Perak dibuka sementara secara berperingkat – LAP

Bekalan air di Batang Padang, Hilir Perak dibuka sementara secara berperingkat – LAP

IPOH,. Lembaga Air Perak (LAP) Wilayah Selatan memaklumkan bekalan air dibuka buat sementara sejak 8 malam tadi di beberapa kawasan di daerah Hilir Perak yang mengalami gangguan bekalan sejak seminggu lepas.

LAP dalam satu memo yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan bekalan air dibuka daripada kolam LAP akan ditutup apabila air kolam habis dan para pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya semasa pembukaan kolam berkenaan.

“Kawasan terlibat ialah Kampung Padang Tembak, Kampung Selabak, Kampung Banjar, Jalan Banjar, Jalan Maharajalela, Batak Rabit, Jalan Padang Tembak, Jalan Karim, Pekan Baru, Jalan Sultan Abdullah, Kampung Bahagia Jalan Changkat Jong, Jalan Bidor Teluk Intan dan kawasan sekitarnya,” menurut memo itu.

Dalam pada itu, Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh telah beroperasi semula dengan kapasiti 50 peratus daripada pengeluaran sebenar berikutan pengaktifan semula saluran paip air mentah bersaiz 900 mm dari muka sauk Batu 10.

“Proses rawatan air kini sedang dilaksanakan dan air yang telah dirawat akan disalurkan ke dalam sistem agihan untuk mengisi tangki-tangki takungan utama dan dijangka mengambil sedikit masa untuk mencapai kestabilan sebelum air dapat disalurkan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

LAP memaklumkan bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air, LAP akan melaksanakan sementara catuan penggiliran bekalan air ke daerah Batang Padang dan Hilir Perak disalurkan secara berperingkat mulai awal pagi semalam.

Pengagihan air melalui lori tangki masih diteruskan namun jumlahnya akan dikurangkan mengikut kawasan yang sudah menerima bekalan air.

“LAP akan terus memantau operasi loji ini dan berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran loji secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata gangguan bekalan air yang menjejaskan 50,000 akaun pengguna beberapa kawasan di daerah Batang Padang serta Hilir Perak sejak 6 Feb dijangka pulih berperingkat bermula Selasa.

Mohammad Nizar berkata gangguan bekalan air itu akibat kebocoran paip bawah tanah milik LAP yang mengalirkan air mentah ke LRA Bukit Temoh bersebelahan Taman Bunga Raya, Tapah.

Kebocoran itu disebabkan pergerakan tanah yang ditambak melebihi 10 meter di atas paip air mentah LAP dan kesan pergerakan tanah itu turut mengakibatkan lebih tiga rumah di Taman Bunga Raya mengalami keretakan serius serta berisiko untuk diduduki.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This