Liga Super: Kurang yakin punca kekalahan – Sabah FC
ISKANDAR PUTERI,. Kekalahan 0-4 di tangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi berpunca daripada kurangnya keyakinan, kata Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano.
Jurulatih dari Slovakia itu berkata The Rhinos mengawal perlawanan dengan baik pada separuh masa pertama tetapi mula kehilangan rentak pada separuh masa kedua.
“Selepas gol pertama JDT menerusi sepakan percuma pada minit ke-51, pemain dilihat mula hilang keyakinan membolehkan JDT mengawal rentak permainan dan memperoleh empat gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Bagaimanapun, Stano tetap positif bahawa Sabah FC mampu untuk mencapai sasaran berada dalam kedudukan tiga teratas Liga Super bagi musim ini.
“Walaupun tewas, saya tetap bangga dengan prestasi pemain terutamanya pada 45 minit pertama apabila menunjukkan kemampuan sebenar Sabah FC,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio memuji kematangan dan keyakinan pasukannya, khususnya pada separuh masa kedua.
“Separuh masa pertama sangat mencabar … pemain tidak dapat mengawal rentak tetapi babak kedua berbeza. Kami bermain lebih baik dan tenang seterusnya dapat menghasilkan gol.
“Selepas gol pertama, pemain pamer aksi lebih berkualiti. Kami lebih fokus dalam permainan,” kata jurulatih dari Argentina itu.
Pada perlawanan malam tadi, JDT menang 4-0 menyaksikan Juan Muniz Gallego dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan dua gol.
Kemenangan itu membolehkan JDT selesa mengungguli Liga Super dengan 49 mata daripada 17 perlawanan, 16 kemenangan dan satu seri.
— BERNAMA