Mahkamah tolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan

Mahkamah tolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan

KUALA LUMPUR,. Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhubung ucapannya dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan berkenaan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.

“Saya mendapati dalam kes ini, majlis (di mana forum diadakan) adalah berstatus istimewa, tiada niat jahat yang terbukti dan defendan mempunyai alasan munasabah untuk kenyataan berdasarkan pengakuan dan penulisan plaintif (dalam bukunya Becoming Hannah) dan penerbitan (kenyataan defendan) adalah di luar kawalannya,” katanya.

Arziah berkata hak perlembagaan untuk kebebasan bersuara mesti dilindungi dengan tegas, terutamanya dalam perkara melibatkan kepentingan awam dan kenyataan yang dibuat semasa majlis berstatus istimewa.

“Walaupun ucapan yang bertanggungjawab adalah penting, individu terkenal perlu menjangkakan dan menerima kritikan serta perdebatan yang hebat mengenai kenyataan dan tindakan awam mereka. Oleh itu, tuntutan plaintif ditolak dengan kos sebanyak RM40,000,” katanya ketika menyampaikan keputusan berkenaan hari ini melalui e-mel.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This