
Mesyuarat khas SPR bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 7 Mac ini.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan berkenaan telah berlaku,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.
Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Nov 2022, Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
— BERNAMA