
Pasar Siti Khadijah berwajah baharu, pusat perniagaan dan warisan lebih menarik
KOTA BHARU,. Pasar Siti Khadijah, mercu tanda warisan dan pusat perdagangan utama di Kelantan, kini tampil dengan wajah baharu selepas menjalani proses naik taraf menyeluruh.
Dengan gabungan elemen moden dan keunikan tradisi, pasar berkenaan dijangka terus menjadi daya tarikan utama bukan sahaja kepada penduduk tempatan, tetapi juga pelancong.
Terkenal dengan suasana perniagaan yang dikuasai oleh golongan wanita, pasar itu kini menawarkan ruang niaga lebih luas, sistem pencahayaan dan pengudaraan lebih baik.
Tinjauan Bernama semalam mendapati premis terbabit telah dicat dengan warna baharu, dihiasi mural bertemakan alat muzik tradisional serta dilengkapi kemudahan tambahan seperti laluan khas untuk Orang Kurang Upaya, kawasan rehat, dan sistem saliran lebih cekap bagi memastikan pengalaman beli-belah lebih selesa dan mesra pengguna.
Suasana pasar juga kelihatan lebih tersusun dengan laluan yang lebih luas, membolehkan pengunjung bergerak dengan lebih mudah tanpa kesesakan seperti sebelum ini.
Peniaga makanan tradisional Kelantan, Rohani Mat, 54, berkata perubahan berkenaan memberi lebih manfaat kepada peniaga tempatan lain.
Pasar berkenaan, katanya bukan sekadar tempat menjual beli, tetapi juga lambang budaya serta warisan rakyat Kelantan.
“Wajah baharu ini menjadikan pasar ini pusat ekonomi lebih dinamik dan lokasi pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pengunjung.
“Dulu keadaan agak sesak tetapi kini dengan kemudahan yang lebih baik, kami dapat berniaga dalam suasana lebih teratur dan pelanggan juga lebih selesa berbelanja,” katanya yang berniaga di pasar itu sejak lebih 20 tahun.
Senada dengan Rohani, Mohd Nazri Hassan, 42, yang menjual barangan kering dan rempah ratus berkata transformasi itu memberi kesan positif kepada perniagaan mereka.
“Keadaan pasar sekarang lebih bersih, teratur dan selesa untuk pelanggan. Saya perasan sejak pembukaan semula ini, pelanggan lebih ramai dan lebih lama berada di sini yang memberi kesan baik kepada jualan kami,” katanya.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd Farid Rahman, 45, berkata perubahan itu menjadikan Pasar Siti Khadijah lebih mesra pelancong.
“Dulu pasar ini agak sempit dan panas, tetapi sekarang saya rasa lebih selesa untuk membeli-belah. Banyak produk tempatan yang menarik dijual di sini, saya pasti akan datang lagi jika berkunjung ke Kelantan,” katanya.
Bukan sekadar tempat beli-belah, Pasar Siti Khadijah yang telah beroperasi sejak empat dekad juga akan menjadi pusat promosi produk tempatan, program kebudayaan serta aktiviti keusahawanan bagi memperkukuh negeri ini sebagai pusat perdagangan tradisional yang berdaya saing.
Pada Oktober tahun lepas, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM5.5 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur Pasar Siti Khadijah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata Kerajaan MADANI amat komited untuk membaik pulih pasar berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan ia sangat diperlukan oleh 1,500 peniaga di premis itu.
— BERNAMA