
Permohonan permit rentas sempadan kenderaan barangan ASEAN dibuka hari ini
KUALA LUMPUR,. Permohonan Permit Rentas Sempadan Kenderaan Barangan ASEAN bagi pengoperasian di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Kemudahan Pengangkutan Antara Negara (AFAFIST), dibuka bermula hari ini.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan memaklumkan melalui AFAFIST, pengendali berlesen yang berkelayakan berpeluang menjalankan operasi rentas sempadan melibatkan pergerakan kenderaan barangan merentasi sempadan antara dua negara anggota ASEAN yang bersebelahan.
Kenyataan itu memaklumkan operasi di bawah perjanjian AFAFIST merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan integrasi ekonomi di rantau ASEAN dan mencerminkan komitmen negara ASEAN bagi mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.
“Dengan memudahkan pergerakan kenderaan barangan, perjanjian ini membantu mengurangkan halangan perdagangan, meningkatkan kecekapan logistik dan perdagangan antara negara ASEAN, seterusnya menjadikan rantau ASEAN lebih kompetitif di peringkat global,” menurut kenyataan APAD itu.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Pelesenan Kenderaan Perdagangan (iSPKP) di pautan https://iportal.ispkp.gov.my/.
“Sehubungan itu, APAD ingin menggalakkan pengendali kenderaan barangan yang berkelayakan untuk mengemukakan permohonan rentas sempadan bagi kenderaan barangan agar dapat memperkukuh kelancaran perdagangan dan logistik di antara negara ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan maklumat lanjut dan salinan Keperluan Tahap Perkhidmatan Kenderaan Barangan (Peredaran Antarabangsa) (Rentas Sempadan ASEAN) boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.apad.gov.my/sumber-maklumat1/garis-panduan/keperluan-tahap-perkhidmatan/499-keperluan-tahap-perkhidmatan-kenderaan-barangan-peredaran-antarabangsa-rentas-sempadan-asean/file.
Garis Panduan Pelesenan (Peredaran Antarabangsa) (Kenderaan Barangan Rentas Sempadan ASEAN) pula boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.apad.gov.my/sumber-maklumat1/garis-panduan/garis-panduan-kenderaan-barangan/497-garis-panduan-pelesenan-peredaran-antarabangsa-kenderaan-barangan-rentas-sempadan-asean/file.
— BERNAMA