TNB Komited Menyumbang Kepada Masyarakat Melalui Agihan Zakat

TNB Komited Menyumbang Kepada Masyarakat Melalui Agihan Zakat

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus membantu golongan yang memerlukan dengan menunaikan kewajipan zakatnya melalui agihan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Bagi tahun 2024, TNB telah mengagihkan zakat berjumlah RM33 juta, mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan sosial dan pembangunan negara.

Dari Syarikat ke Masyarakat

TNB menyalurkan zakat melalui dua kaedah utama iaitu Zakat Perniagaan dan Zakat Wakalah. Zakat Perniagaan adalah zakat yang diberikan oleh TNB kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Pengagihan dilakukan berdasarkan komposisi berikut:

● 70% untuk golongan fakir miskin
● 30% untuk golongan fisabilillah

Sementara itu, Zakat Wakalah adalah zakat yang diterima semula oleh TNB daripada Majlis Agama Islam Negeri dan diagihkan terus kepada penerima manfaat yang telah dikenal pasti melalui pelbagai inisiatif termasuk:

Program Baiti Jannati: Membantu keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Ceria Ke Sekolah: Menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis kepada pelajar daripada keluarga asnaf.
● Bantuan keperluan asas dan pembangunan komuniti kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid menegaskan bahawa sumbangan zakat merupakan tanggungjawab syariah yang mencerminkan komitmen TNB terhadap kesejahteraan rakyat.

“Sumbangan zakat adalah kewajipan syariah dan tanggungjawab yang kami tunaikan dengan penuh keprihatinan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kejayaan dengan masyarakat dan memastikan bantuan ini memberi manfaat menyeluruh kepada golongan asnaf.”

Komitmen TNB dalam Pembangunan Masyarakat

Selain menunaikan kewajipan zakat, TNB juga memberikan sumbangan melalui inisiatif CSR yang merentasi teras pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar, dengan perbelanjaan RM140.9 juta pada 2024.

Bagi teras pendidikan, Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta. Program Baiti Jannati pula telah membina dan membaik pulih 817 rumah sejak 2018, memberikan manfaat kepada lebih 4,000 individu.

TNB turut menyumbang dalam program lain seperti Projek Mesra Rakyat dan Better Brighter Shelter, dalam usaha menyokong inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Dalam sukan, hampir RM6 juta disalurkan untuk menaja Konfederasi Hoki Malaysia, selain peruntukan yang disediakan untuk membangunkan TNB Thunderbolts serta melaksanakan Klinik Hoki bagi mencungkil bakat baharu.

Sementara itu, dalam aspek kelestarian, pada Februari lalu, TNB telah memasang sistem panel solar 25 kWp di sebuah sekolah agama negeri untuk mengurangkan kos tenaga dan menyokong masa depan yang lebih bersih, selaras dengan aspirasi negara untuk tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan dalam pendidikan.

Keprihatinan yang Berterusan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan, menegaskan TNB amat komited dalam memastikan setiap program pembangunan komuniti syarikat memberi impak nyata kepada masyarakat.

“Di TNB, kami percaya bahawa peranan kami melangkaui penyediaan bekalan elektrik. Sumbangan zakat merupakan satu kewajipan yang dilaksanakan oleh syarikat untuk membantu kumpulan komuniti yang memerlukan.”

“TNB juga menunaikan tanggungjawab sosialnya melalui pelbagai inisiatif CSR, termasuk memperkasa komuniti, membangunkan bakat dan menyokong pertumbuhan yang mampan. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” tambah beliau.

Komitmen ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyokong usaha ke arah pembangunan yang inklusif dan lestari.

Mengenai Tenaga Nasional Berhad
Tenaga Nasional Berhad (TNB) (www.tnb.com.my) ialah syarikat utiliti terkemuka di Malaysia dan Asia dengan operasi antarabangsa di United Kingdom (UK), Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Kuwait, Pakistan dan Kemboja. Dalam sektor tenaga boleh baharu, TNB memiliki kapasiti penjanaan sebanyak 3,189MW di Semenanjung Malaysia (termasuk 2,536.1MW hidro berskala besar) dan 1,183MW merangkumi UK, Ireland, Australia dan Turkey, yang terutamanya terdiri daripada aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro. Selain menjadi penjana utama elektrik negara, TNB juga mengendalikan penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga 31 Disember 2024, TNB membekalkan elektrik kepada lebih daripada 11 juta pelanggan.

-Press Release

CATEGORIES
TAGS
Share This