Universiti Jepun perkenal program AI untuk latihan pelajar perubatan

Universiti Jepun perkenal program AI untuk latihan pelajar perubatan

NAGASAKI (Jepun),. Universiti Nagasaki di barat daya Jepun dan sebuah syarikat pembangunan sistem tempatan memperkenalkan program kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pelajar perubatan berlatih menjalankan temu bual dengan pesakit maya di skrin.

Pembangunan itu dibuat berikutan kesukaran universiti serantau mendapatkan pesakit simulasi, yang memerlukan latihan khusus bagi meniru simptom kes sebenar dengan tepat, lapor Kyodo News. Keadaan ini berpunca daripada penurunan populasi di banyak kawasan luar bandar Jepun.

Dalam demonstrasi awal Mac lalu, seorang pesakit AI melaporkan mengalami demam dan batuk selama dua hingga tiga hari serta memberi maklum balas yang sesuai kepada soalan daripada individu yang bertindak sebagai pelajar perubatan. Universiti itu merancang untuk memperkenalkan program berkenaan pada Mac 2026.

Melalui teknologi AI itu, universiti dijangka dapat meningkatkan latihan perubatan bagi pelajar melalui interaksi dengan pelbagai pesakit maya yang berbeza dari segi umur, jantina dan simptom.

“Kami akan menambah fungsi pemarkahan dan maklum balas dalam sistem ini. Kami berharap ia dapat membawa kepada kaedah pembelajaran yang lebih cekap serta meningkatkan kualiti pembelajaran,” kata Shinya Kawashiri, profesor madya di Fakulti Perubatan universiti itu.

Sementara itu, Profesor Toru Kobayashi dari Fakulti Sains Maklumat dan Data universiti berkenaan menyifatkan usaha tersebut sebagai satu “inisiatif baharu” di Jepun.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This