Bursa malaysia tinggi hari ini

Bursa malaysia tinggi hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengalami prestasi berbeza berbanding aliran menurun semalam untuk dibuka tinggi pada Selasa, didorong sokongan belian sederhana dalam saham berwajaran tinggi, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menambah 0.07 mata kepada 1,549.12 daripada 1,549.05 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.87 mata lebih kukuh kepada 1,550.92.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 156 berbanding 114, manakala 225 kaunter tidak berubah, 1,778 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 141.98 juta unit bernilai RM63.14 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran dijangka bertukar positif, menjejaki prestasi kukuh Wall Street dalam tempoh semalaman, serta Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan IHS Markit yang meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 pada November, menunjukkan keadaan dalam sektor pembuatan semakin bertambah baik.

Ia menambah, bagaimanapun, pelabur mungkin terus memantau rapat inflasi global, kadar faedah dan sebarang risiko yang tidak dijangka daripada varian COVID-19.

“Kami menjangkakan kenaikan semalaman di Nasdaq mungkin memberi limpahan kepada saham teknologi di peringkat tempatan.

“Selain itu, peniaga boleh memberi tumpuan kepada saham minyak dan gas serta perladangan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah yang lebih kukuh,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Harga MSM meningkat melebihi RM4,800 satu tan manakala harga minyak mentah berlegar di atas paras AS$78 setong.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.32, Public Bank kurang dua sen kepada RM4.13, CIMB turun tiga sen kepada RM5.46, manakala IHH Healthcare dan Tenaga masing-masing tidak berubah pada RM6.87 dan RM9.23.

Petronas Chemicals bagaimanapun meningkat tujuh sen kepada RM8.83.

Bagi saham aktif, Bintai dan SMTrack masing-masing menokok 1.5 sen kepada 24.5 sen dan 25 sen, SC Estate menambah satu sen kepada 8.5 sen, Dagang Nexchange naik setengah sen kepada 81.5 sen, manakala Opcom meningkat dua sen kepada RM1.01.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.84 mata kepada 11,230.23; Indeks FBM Emas Syariah meningkat 17.02 mata kepada 12,113.36; FBM 70 menambah 38.53 mata kepada 14,264.38 serta Indeks FBMT 100 menokok 7.21 mata kepada 10,925.02.

Bagaimanapun, FBM ACE susut 0.23 mata kepada 6,545.04.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.76 mata kepada 202.15, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 6.67 mata kepada 15,607.4 manakala Indeks Perladangan susut 0.14 mata kepada 6,660.24.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This