Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah meneruskan aktiviti pengambilan untung semalam dalam kebanyakan indeks diterajui oleh saham teknologi, selain menjejaki penutupan yang rendah dalam Nasdaq Composite di Wall Street, kata penganalisis.

Pada 9.12 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.89 mata kepada 1,557.55 daripada 1,567.44 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.54 mata kepada 1,564.90.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 307 berbanding 92 manakala 221 kaunter tidak berubah, 1,681 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 155.91 juta unit bernilai RM103.60 juta.

Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata Nasdaq, yang merosot sebanyak 262 mata, ditutup dalam pasaran menurun buat kali pertama sejak Mac 2020.

Penurunan saham China berikutan peningkatan terkini dalam kes COVID-19 dan sekatan pergerakan baharu memberi impak kepada minat risiko global, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagi pasaran ekuiti tempatan hari ini, indeks petunjuk pasaran dijangka akan diniagakan lebih tinggi, berikutan sokongan yang berterusan daripada dana asing.

“FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,560-1,580,” katanya.

Mengenai komoditi, aktiviti pengambilan untung menyaksikan harga minyak sawit mentah merosot di bawah paras RM7,000 satu tan manakala harga minyak mentah Brent jatuh kepada AS$107 setong berikutan satu lagi sekatan pergerakan di Shenzen, China.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing naik tiga sen kepada RM8.95 dan RM4.47, Petronas Chemicals berkurangan 17 sen kepada RM9.42, IHH Healthcare dan Tenaga, masing-masing tidak berubah pada RM6.40 dan RM8.96 manakala CIMB susut tiga sen kepada RM5.04.

Daripada saham aktif, Hibiscus Petroleum merosot empat sen kepada RM1.07, Bumi Armada berkurangan satu sen kepada 39 sen dan Dagang Nexchange susut 1.5 sen kepada 96.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 70.29 mata kepada 11,010.04, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 117.90 mata kepada 11,592.61, FBM 70 susut 76.97 mata kepada 12,893.08, Indeks FBMT 100 jatuh 67.23 mata kepada 10,727.56 dan FBM ACE berkurangan 41.16 mata kepada 5,179.93.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 3.18 mata kepada 198.74, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.94 mata kepada 16,270.15 dan Indeks Perladangan berkurangan 136.03 mata kepada 8,098.63.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This