Ahli UMNO jangan terpengaruh dengan kenyataan Anwar – Ismail Sabri
KUALA NERUS : Jangan mudah terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mempuyai agenda tersendiri.
Itu antara ingatan yang dikeluarkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pemimpin dan ahli parti itu.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut bimbang sekiranya kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Port Dickson itu boleh memecah-belahkan kepimpinan mereka.
“Kalau itu setakat keinginan dia, saya serahkan pada dia… itu hak dia tetapi kita takut ia boleh memecah-belahkan antara dalaman UMNO itu sendiri. “Saya takut ada syak mengesyaki antara satu sama lain, masing-masing petik nama, yang akhirnya (menyebabkan) kita sama kita berpecah.
“Sebab itu, saya harap kita jangan dipengaruhi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar kerana agenda dia mungkin nak memecah-belahkan UMNO,” katanya. Ismail Sabri berkata, keputusan yang dibuat UMNO juga jelas iaitu dengan menolak kerjasama bersama PKR dan DAP.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para), Kem Seri Pantai, Seberang Takir, pada Sabtu.
-DG