AirAsia umum promosi tambang istimewa 7 destinasi India Selatan

AirAsia umum promosi tambang istimewa 7 destinasi India Selatan

KUALA LUMPUR,. AirAsia mengumumkan promosi tambang istimewa RM189 sehala bagi tujuh destinasi India Selatan bermula sekarang hingga 24 Dis, 2024, sempena pengumuman langkah kemasukan tanpa visa dari India ke Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata harga promosi itu terpakai untuk perjalanan ke Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata dan akan datang, Thiruvananthapuram.

“Inisiatif ini menandakan peristiwa penting dalam mengukuhkan hubungan antara dua negara, dan bagi meraikannya, AirAsia melancarkan laluan baharu, Thiruvananthapuram, bermula 21 Feb, 2024,” katanya pada acara Pengumuman Meraikan Kemasukan Tanpa Visa AirAsia di sini hari ini.

Tempoh perjalanan bagi kesemua destinasi berkenaan bermula serta-merta dan berakhir pada 30 Sept, 2024, katanya.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan tambahan kepada pengumuman AirAsia berikutan peningkatan perkhidmatan antara Malaysia dan India, dengan jumlah 69 penerbangan mingguan yang mengagumkan, bermula pada suku pertama 2024, dengan sehingga 1.5 juta tempat duduk setahun.

Riad berkata syarikat penerbangan kos rendah itu akan memperkenalkan penerbangan ke Jaipur, Goa, Varanasi dan Vizag pada separuh pertama tahun depan, bermula dengan Jaipur.

“Kami pasti dengan inisiatif ini membolehkan lebih ramai pelancong dari India berkunjung ke Malaysia dan destinasi lainnya dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Syarikat perbangan itu juga berazam mengakhiri 2023 dengan cemerlang dan melangkah ke tahun baharu dengan permulaan yang baik dalam sektor pengembaraan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan langkah kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India mulai 1 Disember, sebagai sebahagian daripada sambutan perkongsian strategik 50 tahun antara Malaysia dan China tahun depan.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain untuk terus menggerakkan senario pelancongan Malaysia ke potensi sepenuhnya,” kata Riad sambil menambah syarikat penerbangan itu berhasrat menambah bilangan pesawat bagi meningkatkan jumlah penerbangan tahun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This