AKPK nasihati umat Islam sambut Aidilfitri secara sederhana, berhemah

AKPK nasihati umat Islam sambut Aidilfitri secara sederhana, berhemah

KUCHING,. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara sederhana dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah.

Tidak dinafikan, memasuki fasa peralihan ke endemik yang bermula pada April 2022 memberikan kegembiraan kepada seluruh umat Islam yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Suasana beraya di kampung bersama sanak-saudara yang sekian lama tidak dikunjungi sudah terbayang-bayang dan sememangnya dinanti-nantikan.

“Ditambah pula dengan ‘dendam’ setelah dua tahun kita tidak dapat menyambut Hari Raya sepuas-puasnya seperti dahulu, pastinya kita ingin dilihat cantik dan bergaya dengan persalinan baju serta kelengkapan rumah yang serba baharu.

“Namun, adakah kita bersedia dari segi kewangan? Sebab itu, perancangan kewangan sangat penting untuk mengelak daripada terlebih berbelanja,” ujar APKP menerusi kenyataan.

Bagi memastikan rakyat berbelanja secara bijak, APKP turut berkongsi beberapa tip dan idea yang boleh dipraktikkan.

Pertama, beli secara borong kerana lebih mudah untuk mendapatkan potongan harga jika kita membeli barang di tempat yang sama dalam kuantiti yang banyak.

Kedua katanya, berkongsi kereta untuk menjimatkan duit minyak dan bayaran tol selain mengurangkan sedikit kesesakan jalan raya yang menjadi kebiasaan pada musim perayaan.

Tip ketiga, cungkil bakat terpendam dalam diri anda dengan menjahit sendiri baju raya dan membuat kuih raya tradisi mengikut cara dan selera anda.

Jika ada lebih, anda boleh jual kepada jiran tetangga atau di alam maya, sekali gus boleh menambahkan pendapatan keluarga.

Selain itu, masyarakat dinasihatkan berkata ‘nanti dulu’ kepada barang kemas dan perhiasan serta elakkan membeli dengan menggunakan kad kredit.

Lagi tip yang boleh dipraktikkan, cuci dan guna semula barangan seperti langsir, sarung kusyen dan perabot yang sedia ada dan elak pembelian secara ansuran kerana ia akan mempengaruhi bajet bulanan anda selepas itu.

Tip lain, ubah kedudukan perabot supaya ruang tamu anda tampil berbeza dan bersedekah sekadar yang termampu.

“Anda boleh meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan perasaan tenang apabila anda mengawal bajet anda. Pada masa yang sama, sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bagi mengekang penyebaran virus ketika berkunjungan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This