Amanah Saham Bumiputera menyambut ulang tahun ke-30

Amanah Saham Bumiputera menyambut ulang tahun ke-30

KUCHING,. Amanah Saham Bumiputera (ASB) anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), semalam telah meraikan ulang tahunnya yang ke-30 bertemakan ‘Aspirasi Anda, Amanah Kami’.

Menurut kenyataan Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Dr Zeti Aziz, ASB sejak diperkenalkan pada 2 Januari 1990 kini diurus Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“ASB telah berkembang menjadi tabung unit amanah terbesar negara dengan pelaburan yang meluas dalam pelbagai instrumen kewangan dan syarikat utama negara di Malaysia pada hari ini.

“Sepanjang tempoh 30 tahun ini juga, ASB telah memberi pulangan dividen dan bonus sebanyak RM151.9 bilion kepada pelabur, walaupun ada ketikanya berdepan krisis kewangan dan ekonomi yang sangat mencabar,” kata Zeti.

Sempena ulang tahun ASB yang ke-30, pihaknya mempelawa orangg ramai menyertai pelbagai peraduan dan kempen pelaburan yang telah disediakan pihaknya.

ASB merupakan unit amanah yang kedua dilancarkan oleh PNB selepas pelancaran Skim Amanah Saham Nasional (ASN) pada 1981.

ASB mempunyai ciri-ciri unik yang berharga tetap iaitu RM1 dan hanya memerlukan pelaburan permulaan serendah RM10.

Sehingga 15 Jun lalu, ASB mempunyai lebih 10 juta pemegang unit dengan 169 bilion unit dalam edaran.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn turut merakamkan penghargaan kepada semua pelabur ASB yang setia bersama sepanjang tiga dekad.

Menurut beliau, pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan demi kemudahan pelabur.

“Dahulunya, pegawai ASB perlu turun padang ke kampung dan desa untuk memperkenalkan ASB dan merekod urus niaga pelabur dalam buku pelaburan secara manual.

“Namun hari ini, kemudahan pelaburan ASB telah melalui evolusi yang bermula dari rangkaian ejen dan pejabat pos, kemudian ditingkatkan pula menerusi perbankan internet dan terkini melalui portal dan aplikasi myASNB.

“Pelabur juga kini boleh menamakan penerima untuk pelaburan mereka dalam ASB menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

“Kami berharap dengan kemudahan-kemudahan ini, lebih ramai lagi pelabur Bumiputera akan memilih ASB sebagai produk pelaburan pilihan mereka,” tambah Ahmad Zulqarnain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin turut menjelaskan tujuan ASNB menganjurkan kempen dan peraduan pelaburan sempena sambutan ulang tahun ke-30 itu adalah bagi menghargai pelabur sedia ada dan untuk mendekati pelabur baharu.

Beliau berharap kesemua 10 juta pelabur ASB akan mengambil peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan bagi merebut hadiah menarik yang bernilai lebih RM1 juta.

Kempen pertama ialah ‘Kumpul dan Menang’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta manakala kempen kedua ialah ‘Jom Auto Labur’ yang menawarkan Proton Saga 1.3L Premium AT sebagai hadiah utama.

Tempoh kempen telah bermula sejak 1 Ogos lalu dan berakhir 17 Disember tahun ini.

Peserta hanya perlu membuat pelaburan minimum RM30 untuk satu mata penyertaan atau tiga mata penyertaan jika pelaburan dibuat menerusi portal dan aplikasi myASNB.

Menerusi kempen ‘Jom Auto Labur’ pula, pengguna kemudahan Auto Labur@myASNB sedia ada hanya perlu menambah potongan bulanan minimum dalam ASB sebanyak RM30 daripada potongan sedia ada,manakala pengguna baharu pula perlu menetapkan potongan bulanan minimum RM60.

Untuk mula menggunakan kemudahan Auto Labur, pelabur perlu terlebih dahulu mendaftar dalam talian di www.myasnb.com.my untuk menjadi pengguna portal myASNB.

“Lebih banyak mata penyertaan yang dikumpul, lebih besarlah peluang untuk menang. Apa yang perlu dilakukan pelabur ialah melabur dalam ASB untuk mengumpul sebanyak mungkin mata penyertaan.

“Inilah masa terbaik untuk mereka yang belum mempunyai akaun ASB untuk membuka pelaburan ASB,” tambah beliau lagi.

Bagi peraduan Video Pendek ASB pula, terdapat empat kategori yang dianjurkan iaitu LIGHTS, CAMERA dan ACTION, Detik Indah ASB, Cerita Labur Adik serta Cerita Labur Si Cilik yang masing-masing menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000, RM33,000, RM18,000 dan RM18,000.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 September depan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pelaburan dan peraduan sempena sambutan Ulang Tahun ASB yang ke-30, sila layari https://www.asnb.com.my/asb30tahun.php.

CATEGORIES
TAGS
Share This