AMM gesa kerajaan jelaskan status golongan berisiko dalam program imunisasi

AMM gesa kerajaan jelaskan status golongan berisiko dalam program imunisasi

KUALA LUMPUR,. Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menggesa kerajaan memberi pencerahan berhubung kedudukan kumpulan berisiko tinggi dalam senarai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menurut kenyataan kumpulan pakar perubatan itu, proses pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera tidak memaklumkan wanita hamil dan pesakit imunosupresi akan status risiko mereka.

“Aplikasi itu juga gagal menyediakan maklumat untuk mendidik mereka yang memiliki komorbiditi tentang vaksin COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan keadaan mereka.

“Kami menggesa kerajaan agar mengemas kini aplikasi itu dengan maklumat yang boleh membantu pesakit mendapatkan vaksin berdasarkan kumpulan risiko mereka,” kata AMM pada Rabu.

AMM berkata strategi imunisasi negara perlu bersifat inklusif dan melengkapkan kumpulan berisiko tinggi dan rentan dengan maklumat bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak.

“Memandangkan kumpulan penghidap imunosupresi meliputi pelbagai masalah kesihatan, setiap pasukan perubatan bagi kumpulan yang berkenaan perlu menjalankan penilaian risiko dan faedah yang turut merangkumi masa terbaik serta pelan rawatan yang dapat memperkasakan mereka untuk mendapatkan vaksinasi,” kata AMM.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )