Anugerah 100Plus Perpaduan SAM: Azizulhasni atau Zii Jia?

Anugerah 100Plus Perpaduan SAM: Azizulhasni atau Zii Jia?

PETALING JAYA,. Jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia adalah antara tersenarai bagi merebut anugerah atlet terbaik pada Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021, pada 6 Sept ini.

Presiden SAM Norismadi Abd Manap memaklumkan selain Azizulhasni dan Zii Jia, tiga lagi calon adalah pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong serta jaguh muay thai, Rifdean Mansor.

Bagi kategori atlet para terbaik, empat atlet berpeluang merebut anugerah tersebut iaitu tiga juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Datuk Abdul Latif Romly (olahraga) dan Cheah Liek Hou (badminton) serta pemenang perak temasya sukan berprestij itu, Chew Wei Lun (boccia).

Dalam pada itu, Norismadi menyifatkan anugerah yang kembali dianjurkan selepas ditunda penganjurannya selama setahun susulan pandemik COVID-19, lebih menarik kerana buat julung kali menggabungkan dua edisi iaitu anugerah bagi tahun 2020 dan 2021.

Katanya hampir 200 penyertaan diterima termasuk daripada portal bagi anugerah kali ini, dengan sejumlah 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan melibatkan lapan kategori masing-masing bagi 2020 dan 2021 serta satu penghargaan tertinggi, Anugerah Siebel.

“Turut diperkenalkan tahun ini adalah dua kategori baharu, anugerah kewartawanan sukan perpaduan dan foto perpaduan.

“Kategori anugerah perpaduan yang merupakan kerjasama antara SAM dan Kementerian Perpaduan diwujudkan kerana secara tidak langsung dapat membantu rakyat Malaysia menyedari elemen perpaduan itu sangat jelas dan nyata dalam sukan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian anugerah kali ini menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya sejak 1985 iaitu sebanyak RM109,000 yang menanti pemenang.

Anugerah bakal diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )