![Bandar di sempadan Kelantan kian suram, dihimpit saingan Bandar di sempadan Kelantan kian suram, dihimpit saingan](https://thenusantaradaily.com/wp-content/uploads/2025/02/41739413749_FadzliHassan.jpg)
Bandar di sempadan Kelantan kian suram, dihimpit saingan
KOTA BHARU,. Persaingan dari bandar di sempadan Thailand antara faktor menyebabkan bandar seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor semakin sepi, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, situasi ini menjadikan bandar berkenaan tidak lagi menjadi lokasi istimewa bagi mendapatkan barangan murah sekali gus mengurangkan daya tarikan kepada pengunjung.
“Bandar itu bukan hanya sempadan negeri Kelantan tetapi juga sempadan negara dan malangnya bandar sempadan Thailand jauh lebih tersusun dan hal ini telah saya ketengahkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri,” kata beliau.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri telah memohon kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian terhadap pembangunan dua bandar di sempadan itu dan permohonan berkenaan mendapat maklum balas positif.
“Kita diminta untuk menyediakan tapak baharu bagi dijadikan kawasan bebas cukai,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang telah diberikan bagi tujuan pembangunan bandar sempadan.
“Kita ucapkan terima kasih kerana beberapa peruntukan telah diterima untuk usaha itu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pembangunan zon bebas cukai di Rantau Panjang dan proses pengambilalihan tanah akan dilakukan.
Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Rantau Panjang yang terkenal sebagai zon bebas cukai dan destinasi membeli-belah utama di Kelantan, memerlukan lebih banyak tarikan pelancongan untuk merancakkan semula ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pelawat.
Peniaga dan penduduk setempat berpandangan bahawa tanpa tarikan baharu, Rantau Panjang akan terus bergantung semata-mata kepada aktiviti jual beli, sedangkan kawasan itu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat pelancongan lebih menarik.
–BERNAMA