Batal lesen syarikat gaji pengawal keselamatan tanpa permit kerja sah – PIKM

Batal lesen syarikat gaji pengawal keselamatan tanpa permit kerja sah – PIKM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), untuk mengambil tindakan undang-undang dan membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji warga asing yang tidak mempunyai permit dalam sektor itu, sebagai pengawal keselamatan.

Presiden PIKM Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata terdapat segelintir syarikat kawalan keselamatan, yang sengaja menggunakan pengawal keselamatan warga asing tanpa permit kerja demi meraih keuntungan tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Tindakan syarikat yang menyediakan pengawal keselamatan warga asing haram ini, akan membahayakan nyawa masyarakat, kerana mereka tidak mempunyai tapisan keselamatan dan tidak berdaftar dengan KDN.

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa memastikan hanya pengawal keselamatan yang diluluskan KDN sahaja diambil bekerja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai tangkapan 10 pengawal keselamatan warga asing di Lembah Klang, oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Imigresen pada Rabu lepas.

Kesemua pengawal keselamatan yang terdiri daripada warga India, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka itu, ditangkap setelah didapati tidak memiliki permit bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Mohammad Ubaidillah berkata pengawal keselamatan yang dibenarkan bekerja di negara ini ialah warga tempatan dan warga Nepal yang mempunyai permit untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Justeru, kita mengalu-alukan dan menggesa pihak berkuasa khususnya KDN mengadakan operasi bersepadu, bagi menangkap pengawal keselamatan warga asing tanpa permit kerja yang sah ini secara berkala dan berterusan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan semua pengguna dan masyarakat supaya menggunakan syarikat kawalan keselamatan yang berlesen dengan KDN dan mempunyai Pengawal Keselamatan yang memiliki permit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This