Belanjawan 2020 : tingkat kawalan di pintu masuk negara

Belanjawan 2020 : tingkat kawalan di pintu masuk negara

KUALA LUMPUR,. Kawalan keselamatan di pintu masuk negara mendapat perhatian kerajaan dalam perbentangan Belanjawan 2020 bagi memastikan kawasan strategik utama negara itu tidak bolos dengan aktiviti penyeludupan di samping meningkatkan integriti anggota keselamatan bertugas.

Agensi-agensi terlibat dalam kawalan di pintu masuk sempadan masing-masing mendapat agihan peruntukan antaranya 11,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) untuk Jabatan Imigresen dan 20 mesin pengimbas kargo untuk meningkatkan tahap kecekapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemasangan lebih 11,000 CCTV di setiap pintu masuk negara merupakan inisiatif meningkatkan integriti pegawai jabatan itu yang bertugas di pintu masuk negara.

“Jabatan Imigresen merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan di atas peruntukan yang diluluskan. Keputusan ini tentunya akan membantu usaha-usaha meningkatkan tahap integriti pegawai-pegawai Jabatan (Imigresen Malaysia),” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 CCTV di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Paddy Abd Halim pula menyifatkan peruntukan bagi menambah 20 unit mesin pengimbas kargo bakal meningkatkan kecekapan jabatan itu terutamanya dalam penugasan operasi dalam menangani isu penyeludupan khususnya di pintu pelabuhan masuk ke negara.

“JKDM mempunyai kira-kira 25 unit mesin pengimbas sehingga kini dan perkara ini sememangnya satu keperluan untuk ditambah.

“Jumlah dagangan yang masuk semakin meningkat dan dengan perolehan mesin pengimbas yang canggih serta berteknologi tinggi akan memantapkan lagi kawalan di pintu masuk pelabuhan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan memperuntukkan RM235 juta untuk menambah sebanyak 20 mesin pengimbas kargo bagi ditempatkan di semua pintu pelabuhan yang strategik dalam negara.

Sementara itu syarikat Japan Tobocco International (JTI Malaysia) dalam satu kenyataan hari ini memperakui faham, dan menyambut baik langkah kerajaan menambah mesin pengimbas itu dalam menyokong usaha membanteras penyeludupan.

“Penjualan rokok di Malaysia melangkaui tahap krisis dan ia boleh ditangani dengan penguatkuasaan yang menyeluruh dan tegas.

“Semasa kami menyambut baik peruntukan kerajaan RM235 juta untuk membeli tambahan 20 lagi pengimbas kargo yang akan ditempatkan di pintu masuk negara yang strategik, apa yang perlu difahamkan adalah pembanterasan penyeludupan sepenuhnya tidak akan dicapai selagi ada unsur campur tangan manusia dalam penguatkuasaan undang-undang yang tersusun,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke.

Katanya beberapa langkah penting termasuk pengenalan sebuah badan bebas bagi menerajui pasukan petugas khas bagi menangani penjualan rokok seludup, dan langkah meningkatkan moratorium tembakau, amat diperlukan selaras dengan peningkatan penguatkuasaan.

“Kami harap kerajaan akan meningkatkan usaha membanteras gejala penyeludupan dan mengembalikan kehilangan hasil RM6 bilion kepada pembayar cukai di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This