Bendera Malaysia berkibar di Hotel Hollywood promosi VM 2020

Bendera Malaysia berkibar di Hotel Hollywood promosi VM 2020

KUALA LUMPUR,. Bagi menyokong kempen Melawat Malaysia 2020 (VM 2020) dan sebagai simbol persahabatan antara Amerika Syarikat dan Malaysia, hotel legenda di Hollywood, The Highland Gardens, Los Angeles, California, bersetuju mengibarkan bendera Malaysia di hadapan lobi hotel itu.

Duta Pelancongan ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah, Kabir Khan Mohamad Reaz berkata Jalur Gemilang akan berkibar di hotel itu, sepanjang tempoh kempen berkenaan dan ia merupakan antara kejayaan kempen itu di Amerika Syarikat.

“Menyaksikan Jalur Gemilang yang sayangi berkibar di salah sebuah bandar terkemuka di dunia merupakan pencapaian yang hebat bagi Malaysia kerana Hollywood menerima kira-kira 3.59 juta pengunjung setiap tahun dari seluruh dunia.

“Lokasi strategik bendera Malaysia di hotel ikonik di bandar paling popular di dunia itu akan memberi ransangan yang besar terhadap kempen VM 2020,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kabir Khan yang juga ahli silap mata telah diberi penghormatan untuk menaikkan bendera Malaysia pada upacara menaikkan bendera Khamis lepas.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Tourism Malaysia, Los Angeles Ednie Rahma Ab Rahim dan Pengurus Besar Hotel Highland Gardens Jim Baklayan.

Kabir Khan dilantik sebagai Duta Pelancongan baru-baru ini untuk mempromosikan kempen di luar negara yang tujuan menarik pelancong dari Amerika Utara untuk tahun 2020.

Selain Amerika Syarikat, beliau turut merancang beberapa siri persembahan di Tokyo, Geneva, London, Dubai dan Los Angeles bagi mempromosikan VM 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This