BN menang besar PRK DUN Chini

BN menang besar PRK DUN Chini

PEKAN,. Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu hari ini.

Calonnya Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650, selepas memperoleh 13,872 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Zaliza Zulkipli di pusat penjumlahan undi rasmi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini pada 9.04 malam.

Zaliza berkata terdapat hanya 239 kertas undi yang ditolak, 36 kertas undi tidak dikembalikan selepas semua 13 pusat mengundi ditutup pada 5.30 petang tadi, dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 74 peratus (15,231 pengundi)

Majoriti diraih Mohd Sharim itu melebihi dua kali ganda daripada jumlah majoriti yang pernah diraih penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada BN iaitu 4,622 undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, terdiri daripada 10,269 pengundi lelaki dan 10,721 pengundi wanita.

Ini merupakan kemenangan keenam buat BN daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

BN sebelum ini menang di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

Keputusan malam ini menyaksikan kedua-dua calon Bebas hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Terdahulu, proses pengundian yang bermula 8 pagi tadi berjalan lancar dengan tiada sebarang insiden yang tidak diingini melibatkan penyokong calon-calon yang bertanding.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang meraih 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar mendapat 1,065 undi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This