“Buktikan siapa enam ADUN PH akan keluar parti” – MB N9

“Buktikan siapa enam ADUN PH akan keluar parti” – MB N9

SEREMBAN, 15 Mei — Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun meminta pihak yang mendakwa kononnya terdapat enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) di negeri ini yang akan keluar parti supaya membuktikannya.

Menegaskan perkara itu sebagai fitnah, beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata setakat ini, beliau tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan.

“Boleh tanya portal (berita) tersebut, mana sumber dia? Siapa ADUN yang nak lompat?…kalau dia boleh bagi, saya akan jawab perkara tersebut dan jika tiada, dan dia (portal) hanya tulis, buat apa saya nak jawab.

“Sesiapa sahaja boleh tulis. Jadi siapa ADUN dia? Buktikan,” katanya kepada pemberita dalam selepas meninjau tapak penjaja di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita mendakwa terdapat sekurang-kurangnya enam ADUN daripada PH akan menyertai Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan ketika ini komposisi di DUN ialah 20 kerusi dikuasai PH manakala baki 16 kerusi dimiliki Barisan Nasional (BN).

Kerusi PH terdiri daripada DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (tiga) dan baki 16 kerusi adalah milik BN dengan 15 daripadanya dikuasai UMNO manakala MIC, satu.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This