Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, dirangsang oleh minat belian sederhana dalam kebanyakan indeks selepas mempamerkan prestasi lemah semalam.

Pada jam 9.08 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.05 mata kepada 1,518.94 daripada 1,512.89 pada penutupan urus niaga Isnin.

Indeks utama dibuka 0.94 mata lebih tinggi pada 1,513.83.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 171 berbalas 141 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,657 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan ialah 305.54 juta unit bernilai RM140.31 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, di sebalik sentimen negatif di pasaran disebabkan oleh perkembangan politik tempatan dan kemungkinan semakan semula ke atas unjuran pertumbuhan ekonomi negara, aktiviti membeli ketika saham berharga murah telah muncul, didorong oleh peningkatan kadar pemberian vaksin seluruh negara.

“Melihatkan kepada peningkatan dalam kadar vaksinasi dan jumlah harian COVID-19 mencatatkan sedikit penurunan, pasaran mungkin menyaksikan minat belian muncul dalam beberapa saham bertemakan pemulihan seperti kaunter penting – pengguna, hartanah dan perbankan.

“Selain itu, saham teknologi akan mengambil peluang untuk terus meningkat berikutan prestasi positif Nasdaq, dan kami percaya pengeluar pembungkusan plastik juga akan berkembang,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota hari ini.

Dari sudut teknikal, ia berkata tahap halangan ditetapkan pada 1,525-1,548, sementara sokongan pada sekitar 1,500 untuk FBM KLCI.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.09, Public Bank pulih empat sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM8.11, sementara TNB dan IHH masing-masing menambah dua sen kepada RM9.70 dan RM5.66.

Bagi saham aktif, Ramssol naik 19.5 sen kepada 64.5 sen, Straits Inter Logistics meningkat satu sen kepada 24 sen dan Pasukhas yang juga muncul sebagai saham paling untung, mengukuh 21 sen kepada 50 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 33.63 mata pada 11,037.33, Indeks FBMT 100 mengembang 35.44 mata kepada 10,757.08 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 34.75 mata kepada 12,044.25.

FBM ACE meningkat 30.64 mata kepada 7,053.23 dan FBM 70 naik 17.97 mata kepada 14,240.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 46.70 mata kepada 14,981.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.72 mata kepada 186.52, dan Indeks Perladangan naik 2.21 mata kepada 6,244.23.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This