Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan aktiviti memperelok akaun.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.09 mata kepada 1,608.09 berbanding 1,614.18 pada penutupan Isnin.

Indeks dibuka 0.35 mata lebih rendah pada 1,613.83.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 126 berbanding 94, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,567 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 112.74 juta saham bernilai RM50.51 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks utama mungkin terus meningkat seiring keuntungan bursa serantau bagi tahun ini memandangkan bursa tempatan masih dalam jajaran negatif pada masa ini.

Beliau berkata momentum belian di FBM KLCI dilihat tidak menurun dalam tempoh terdekat dengan indeks utama dijangka didagangkan tinggi, menuju ke tahap 1,621, diikuti tahap 1,637 ketika pasaran menghampiri cuti pertengahan minggu.

“Sementara itu, kami juga menjangkakan penurunan disebabkan indeks utama sedang berlegar dalam zon terlebih beli. Penurunan itu sihat bagi pelabur untuk memanfaatkan keuntungan baru-baru ini dengan sokongan yang disandarkan pada tahap 1,595,” katanya dalam nota hari ini.

Di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.05 peratus kepada 3,214.0, Nikkei 225 Jepun naik 0.02 peratus kepada 23,824.80 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.13 peratus kepada 27,906.41.

Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, MISC meningkat dua sen kepada RM8.57, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada RM5.27 dan RM5.64, manakala Maybank susut dua sen kepada RM8.60, Public Bank turun 16 sen kepada RM19.88 manakala TNB susut lapan sen kepada RM13.46.

Bagi saham aktif, MCT naik 2.5 sen kepada 34 sen, Mudajaya meningkat tiga sen kepada 41 sen. I-Stone menambah satu sen kepada 25.5 sen, GDB naik 1.5 sen lebih tinggi pada 61 sen, manakala Tiger Synergy dan Rimbunan Sawit masing-masing kekal pada 10.5 sen dan 36.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 36.17 mata kepada 11,393.61, Indeks FBM Emas Shariah turun 39.01 mata kepada 12,030.39 manakala Indeks FBMT 100 susut 37.14 mata kepada 11,195.74.

FBM Ace, bagaimanapun menokok 15.24 mata kepada 5,081.68, namun FBM 70 turun 25.07 mata kepada 14,088.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.4 mata kepada 15,580.14, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.39 mata kepada 153.55 manakala Indeks Perladangan merosot 27.66 mata kepada 7,558.83

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This