Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah apabila memulakan urus niaga pagi ini, terjejas oleh sentimen pasaran selepas pelabur mengambil sikap berhati-hati dengan Amerika Syarikat (AS)-China menggesa agar konflik antara Ukraine dan Russia dibincangkan.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) lemah 3.59 mata pada 1,587.67 daripada 1,591.26 pada penutup Jumaat.

Indeks utama itu dibuka rendah sebanyak 3.19 mata kepada 1,588.07.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 223 berbalas 146, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,733 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 201.30 juta bernilai RM111.68 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun dengan keadaan global sekarang, pihaknya masih yakin keyakinan akan kembali ke bursa serantau.

“Sementara itu, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada prospek yang pilihan raya umum awal akan diadakan di Malaysia. Dari segi komoditi, harga minyak diniagakan melebihi AS$100 setong di tengah-tengah ketegangan Russia-Ukraine yang tidak dapat diselesaikan, manakala harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM5,600,” katanya.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, kaunter minyak dan gas diramal meneruskan keuntungan masing-masing memandangkan harga minyak mentah kekal kukuh melepasi paras AS$100 setong.

“Selain itu, pelabur mungkin meletakkan saham pembinaan dalam perhatian ekoran jangkaan pilihan raya umum awal di Malaysia menjelang separuh kedua tahun ini,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM8.97, Public Bank turun tujuh sen kepada RM4.62, Petronas Chemical kerugian satu sen kepada RM9.39, manakala IHH Healthcare menambah tiga sen pada RM6.40.

Bagi saham aktif, NWP Holdings, Sapura Energy dan SMTrack semuanya tidak berubah pada 2.5 sen, empat sen dan 8.5 sen, manakala Nylex naik 6.5 sen kepada 50.5 sen.

Di papan indeks, FBM 70 meningkat 55.14 mata kepada 13,323.13 dan FBM ACE naik 15.85 mata kepada 5,355.31.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas turun 18.70 mata menjadi 11,249.77, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 8.83 mata kepada 11,809.16, dan Indeks FBMT 100 lemah 23.39 mata kepada 10,953.33.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.37 mata kepada kepada 202.97, Indeks Perladangan susut 7.67 mata kepada 7,902.28 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 64.78 mata kepada 16,667.01.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This