Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, meneruskan momentum positif pada minggu lalu berikutan petunjuk positif daripada Wall Street yang didorong oleh keyakinan terhadap musim pelaporan pendapatan korporat dan data tenaga kerja yang lebih baik.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 7.18 mata kepada 1,605.46 daripada 1,598.28 pada Jumaat.

Indeks saham pandu dibuka tinggi 4.61 mata kepada 1,602.89.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 305 berbanding 146, manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,515 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 269.73 juta unit bernilai RM117.18 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pihaknya menjangka momentum belian akan berterusan di peringkat tempatan berikutan minat belian daripada dana asing.

“Sementara itu, kelonggaran dalam prosedur operasi standard dan pergerakan di Lembah Klang, Melaka dan lima negeri lagi kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan terus memacu saham yang mencatatkan pemulihan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah dan minyak mentah meningkat dengan minyak mentah diniagakan melebihi paras AS$85 setong.

“Walaupun bursa tempatan mungkin mencerminkan kenaikan semalaman di Wall Street, pelabur dijangka terus melabur di kaunter yang akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi seperti penerbangan, pengguna, hartanah dan pembinaan.

“Selain itu, kaunter minyak dan gas dijangka mengekalkan momentumnya berikutan harga minyak mentah yang tinggi,” katanya.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM8.35 dan Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM8.80, Public Bank, IHH Healthcare dan Press Metal, masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.22, RM6.74 dan RM6.21.

Dalam kalangan saham aktif, Tanco meningkat setengah sen kepada 25.5 sen, MAG menambah satu sen kepada 21.5 sen dan KNM Group tidak berubah pada 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 49.47 mata kepada 11,818.34, Indeks FBMT 100 meningkat 47.16 mata kepada 11,453.90, Indeks FBM Emas Shariah menambah 47.46 mata kepada 12,924.47, FBM 70 menokok 47.85 mata kepada 15,492.41 dan FBM ACE naik 38.47 mata kepada 7,224.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 72.13 mata kepada 15,777.59, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.13 mata kepada 214.07 dan Indeks Perladangan meningkat 17.21 mata kepada 7,057.25.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This