Bursa tinggi pada awal dagangan

Bursa tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi pada Jumaat, didorong minat belian yang berlanjutan namun pengambilan untung sederhana ke atas saham berwajaran tinggi terpilih mengehadkan kenaikan itu, kata peniaga.

Pada 9.26 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.60 mata kepada 1,517.02 daripada 1,516.42 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.22 mata lebih tinggi pada 1,516.64.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 berbanding 157, manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,712 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 233.47 juta unit bernilai RM100.20 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, aktiviti memperelok akaun oleh korporat dijangka berterusan dan menyokong FBMKLCI sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat.

“Kami percaya pelabur mungkin memilih saham bertemakan pemulihan seperti sektor berkaitan penerbangan, perjudian dan pelancongan.

“Sementara itu, sektor perbankan mungkin menumpukan bahagian belakang aktiviti memperolek akaun. Selain itu, minyak dan gas serta teknologi dijangka diniagakan tinggi susulan sentimen positif di Wall Street,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu menjelaskan, pasaran saham Malaysia didagangkan lebih tinggi pada Khamis, diterajui oleh sektor produk perindustrian dan perladangan dipacu oleh prestasi positif semalaman di Wall Street memandangkan penjualan yang dipengaruhi Omicron dan kebimbangan mengenai semakin reda.

“Selain itu, dengan peningkatan semula selama tiga hari yang dicatatkan pasaran saham Amerika Syarikat (AS), minat belian dalam ekuiti tempatan sepatutnya meningkat menjelang Krismas.

“Peniaga mungkin mengalihkan perhatian mereka kepada stok bertemakan pemulihan kerana data menunjukkan Omicron mempunyai risiko kadar kemasukan ke hospital yang lebih rendah dan pesakitnya mengalami simptom yang lebih ringan,” tambahnya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 3.0 sen kepada RM8.22, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.15, manakala Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.75, RM6.55 dan RM5.36.

Bagi saham aktif, SMTrack naik 2.0 sen kepada 13.5 sen, manakala Kejuruteraan Asastera dan Bintai Kinden masing-masing tidak berubah pada 26 sen dan 23 sen, dan ATA IMS susut setengah sen kepada 71.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.0 mata kepada 10,990.93; Indeks FBMT 100 menokok 4.16 mata kepada 10,700.42 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 4.68 mata kepada 11,791.72.

FBM 70 menambah 5.12 mata kepada 13,978.89 dan FBM ACE naik 10.22 mata kepada 6,208.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.08 mata kepada 197.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.49 mata kepada 15,426.85 dan Indeks Perladangan susut 20.06 mata kepada 6,502.18.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This