CelcomDigi mengumumkan kerjasama dengan Huawei dan ZTE

CelcomDigi mengumumkan kerjasama dengan Huawei dan ZTE

KUCHING,. CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) kelmarin mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah menjalin kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd (ZTE) untuk pembelian perkhidmatan rangkaian, penyelesaian dan peralatan bagi projek integrasi dan modenisasi rangkaian di seluruh negara.

Menurut satu kenyataan media, CelcomDigi telah memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini.

Ini merupakan salah satu projek pembangunan rangkaian telekomunikasi terbesar di negara ini susulan daripada penggabungan Celcom dan Digi pada Disember 2022, yang akan menyumbang ke arah membina ekosistem dan ekonomi digital negara.

Usaha ini akan melibatkan kerja penambahbaikan dan integrasi hampir 25,000 tapak Celcom dan Digi yang sedia ada di seluruh negara.

Ia juga melibatkan seramai 800 jurutera yang terdiri daripada jurutera tempatan yang mahir serta pekerja yang berkemahiran dalam R&D dan lebih daripada 250 pasukan kontraktor yang khusus dalam kerja pemasangan di seluruh negara.

Perjanjian ini telah dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun dan Naib Presiden Kanan ZTE Corporation Mei ZhongHua.

Ia disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi YM Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin.

Di bawah perjanjian tersebut, CelcomDigi akan memodenisasikan Rangkaian Akses Radio (RAN) di seluruh negara dengan teknologi terkini yang terdiri daripada perkhidmatan kejuruteraan dan pengoptimuman hujung ke hujung daripada Huawei dan ZTE.

Ini akan menawarkan ‘throughput’ yang lebih tinggi serta memberi liputan rangkaian yang lebih luas bagi menyediakan pengalaman pengguna yang lebih baik, boleh dipercayai, stabil dengan konsistensi yang lebih tinggi.

Penyelesaian teknologi ini akan memanfaatkan spektrum sedia ada CelcomDigi, menggunakan Tri-band Radio Units, Dualband Radio Units serta Baseband Radio Units yang terkini.

Ini akan disokong dengan teknologi terkini yang membolehkan jejak tapak dan penggunaan kuasa yang lebih rendah serta kos efisien.

Huawei dan ZTE juga akan menguruskan projek network densification serta kerja menaik taraf tapak dengan teknologi Dual Band Massive MIMO 32T32R yang boleh meningkatkan kapasiti rangkaian.

Tambahan lagi, CelcomDigi juga akan menggunakan Intelligent Network Monitoring bagi memastikan operasi dan penyelenggaraan rangkaian yang efisien.

Peralatan ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan analisis CelcomDigi dan tindak balas dinamik yang kukuh dalam mengurus makluman rangkaian.

“Kami teruja dapat berkolaboratif dengan Huawei dan ZTE untuk projek integrasi dan modenisasi rangkaian kami.

“Dengan gabungan kepakaran dan sumber yang diperlukan, rangkaian yang telah dimodenkan akan memperkukuhkan lagi keupayaan CelcomDigi untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik, kekal berdaya saing dan memenuhi permintaan data landskap digital yang semakin berkembang.

“Rangkaian kami yang moden dan bersepadu akan menjadi ciri penting dalam usaha CelcomDigi untuk menjadi pemacu digital negara yang menyokong kewujudan bersama dan evolusi 4G/LTE serta teknologi masa depan, termasuk 5G,” kata Idham.

Beliau menambah, rangkaian baharu ini direka supaya dapat beralih ke rangkaian 5G dengan 18,000 tapak – satu infrastruktur yang diperlukan untuk Malaysia menuju ke era kelajuan ultra tinggi, latensi rendah serta pelbagai peluang untuk masa depan yang lebih terhubung.

Ini merupakan pencapaian yang penting buat CelcomDigi serta industri.

“Kami berasa teruja untuk menjadi peneraju industri dengan kerjasama strategik Huawei dan ZTE – untuk merealisasikan potensi masa depan digital kami,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata beliau amat berbesar hati kerana diberi peluang menyaksikan majlis tandatangan perjanjian bekalan tempatan antara CelcomDigi dan Huawei serta ZTE.

Beliau berkata bagi dirinya, perkara ini telah menunjukkan komitmen CelcomDigi untuk menambah baik rangkaian 4G terutama dalam usaha CelcomDigi meningkatkan keberkesanan rangkaian.

Pada masa yang sama katanya CelcomDigi sebagai salah satu Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang penting di Malaysia mempunyai peranan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terutama dari segi kualiti pengalaman bagi penggunaan Internet.

“Saya percaya bahawa perkara ini dapat diselesaikan dengan baik setelah beberapa perbincangan diadakan antara syarikat-syarikat telekomunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata Fahmi.

CelcomDigi akan menyepadu dan memodenkan rangkaian mengikut kluster, dengan aktiviti yang tertumpu kepada usaha memperluaskan liputan dan kapasiti, menaik taraf tapak dengan teknologi 4G dan sedia-5G terkini serta memperkemas tapak bertindih daripada sebarang duplikasi.

CelcomDigi akan memaksimumkan portfolio spektrumnya untuk membina rangkaian berbilang lapisan serta jalur, yang merangkumi penggunaan spektrum 900MHz di seluruh negara di kesemua 18,000 tapak untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan dalam bangunan.

Rangkaian baharu itu akan memberi pelanggan kualiti pengalaman yang ditambah baik serta peningkatan capaian daripada 96 peratus kepada 98 peratus kawasan di seluruh negara.

Mengikut laporan kewangan suku pertama 2023, CelcomDigi merancang untuk melabur semula 15-18 peratus daripada jumlah hasil dalam perbelanjaan modal (CAPEX) bagi menyokong program integrasi dan modenisasi rangkaian serta menaik taraf rangkaian Celcom dan Digi yang sedia ada.
Ia merancang untuk mengekalkan momentum integrasi yang kukuh bagi melengkapkan pelaksanaan rangkaian dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Sun pula berkata, sebagai peneraju teknologi global, Huawei berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan bantuan teknikal kepada CelcomDigi yang memberi fokus kepada memodenkan rangkaian mereka dengan enjin yang lebih berdaya tahan serta menggunakan teknologi hijau dalam memacu kejayaan perniagaan yang lebih besar pada tahun yang akan datang.

“Pada era yang bergerak pantas ini, terdapat keperluan untuk menggunakan penyelesaian yang serba boleh untuk bersaing dengan peningkatan dalam permintaan perkhidmatan digital yang sentiasa berkembang.

“Pada masa yang sama, pengendali di peringkat global juga perlu memastikan bahawa operasi dilakukan dengan cara yang lebih efisien dan ke arah teknologi hijau,” kata Sun.

Sun menambah, dengan pelaburan R&D tahunan Huawei yang konsisten dalam peratusan dua digit, pihaknya yakin dapat menyokong CelcomDigi dalam menambah baik rangkaiannya serta menyediakan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan pengalaman pengguna dengan teknologi hijau dan pada masa yang sama membolehkan automasi pintar dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif ZTE Malaysia Steven Ge pula berkata: “Kami berbesar hati dipilih sebagai vendor bagi inisiatif integrasi dan modenisasi rangkaian untuk CelcomDigi.

“Kami percaya bahawa teknologi canggih kami akan membantu CelcomDigi mengurangkan kos operasinya dan menambah baik prestasi rangkaian bagi membolehkan mereka memberi pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

ZTE Malaysia tambahnya, juga berbangga untuk terus bekerjasama dengan entiti CelcomDigi yang kini lebih besar susulan daripada penggabungan mereka.

Justeru beliau berharap dapat menyokong syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia ini dengan menghubungkan pelanggan melalui rangkaian yang berkualiti tinggi.

CATEGORIES
TAGS
Share This