COVID-19: Dua lagi kematian di Sarawak – JPBN

COVID-19: Dua lagi kematian di Sarawak – JPBN

KUCHING, 23 Jan — Sarawak mencatat dua lagi kematian akibat COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat jangkitan virus berbahaya itu di negeri tersebut meningkat kepada 26 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kes kematian ke-25 merupakan kes ke-2,947 melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 35 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 22 Jan lepas kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.

“Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 23 Jan di Hospital Sibu. Saringan ujian COVID-19 pada 16 Jan dan 22 Jan adalah positif COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Bagi kes kematian ke-26, mangsa yang merupakan kes ke-1,892 adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 74 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 14 Jan selepas ujian saringan COVID-19 yang dijalaninya pada 13 Jan didapati positif.

“Bermula 18 Jan, keadaan kesihatan kes mula menurun dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes telah disahkan meninggal dunia pada 23 Jan di Hospital Sibu,” menurut JPBN.

Sementara itu, hari ini terdapat 193 kes positif COVID-19 yang dikesan di Sarawak iaitu masing-masing di Sibu dengan 138 kes, Miri (12), Bintulu (10), Kuching (9), Dalat (9), Kapit (5), Sebauh (4), Kanowit (2), Selangau (2), Bau (1) dan Limbang (1) menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 3,124 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )