COVID-19: Indonesia lanjutkan tempoh sekatan
JAKARTA,. Indonesia memutuskan untuk melanjutkan sekatan aktiviti awam skala mikro (PPKM) selama dua minggu lagi bermula hari ini untuk mencegah penularan COVID-19.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata maksimum 25 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat di zon merah sementara selebihnya perlu bekerja dari rumah.
Risiko penularan COVID-19 di seluruh negara dikategorikan dengan warna – merah, oren, kuning dan hijau – merah untuk zon berisiko tinggi, dan hijau zon bebas kes baharu.
Di daerah pinggir bandar yang dikategorikan sebagai zon merah, kerajaan telah menetapkan pembelajaran secara dalam talian berikutan semua sekolah dan tempat ibadah ditutup.
Sementara itu, pusat beli-belah dan restoran akan ditutup pada 9 malam dan terhad kepada 50 peratus pengunjung sahaja dengan pematuhan ketat protokol kesihatan.
Indonesia menambah 8,189 kes baharu COVID-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,919,547 sejak pandemik dikesan pada Mac 2020, menurut data di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia.
Jumlah pesakit yang telah pulih meningkat 6,143 dengan keseluruhan 1,751,234, sementara angka korban meningkat sebanyak 237 menjadi 53,116.
— BERNAMA