COVID-19: Jangkitan tempat kerja cetus dua kluster di Sabah

COVID-19: Jangkitan tempat kerja cetus dua kluster di Sabah

KOTA KINABALU,. Jangkitan di tempat kerja mencetuskan dua lagi kluster baharu di sini, iaitu kluster Jalan Kayu Madang dan kluster Lorong Berjaya, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata kluster Jalan Kayu Madang sehingga Isnin mencatatkan 18 kes kumulatif melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan pekerja sebuah syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan di sini.

Beliau berkata kluster itu dikesan apabila kes indeks seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan Pegawai Kawalan Kualiti di syarikat berkenaan disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun, selepas bergejala demam dan hilang deria rasa sejak 27 Jun.

“Sebanyak 177 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil dan 11 kes dikesan di Kota Kinabalu, manakala tujuh kes lagi di daerah Tuaran bagi kluster ini,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya kluster Lorong Berjaya pula melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di premis perniagaan serta kuarters sebuah syarikat di Bandaran Berjaya, dengan sembilan kes kumulatif dikesan sehingga kini.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan petugas khidmat pelanggan dan bergejala sejak 29 Jun lepas, sebelum dikesan positif dalam ujian saringan COVID-19 di Permai Poliklinik Bandaran pada 30 Jun.
“Setakat hari ini, 104 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil, daripada jumlah tersebut lapan kes dikesan positif,” katanya.

Masidi berkata aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kluster baharu berkenaan masih dijalankan.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 263 kes positif baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu 70,720 kes, manakala 232 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah 68,109.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )