Dua individu ditahan tipu jual beli barangan elektronik di Instagram – Bukit Aman

Dua individu ditahan tipu jual beli barangan elektronik di Instagram – Bukit Aman

KUALA LUMPUR,. Dua individu ditahan di Pulau Pinang pada 8 Ogos lepas kerana disyaki menjadi dalang utama sindiket penipuan jual beli barangan elektronik melalui platform media sosial Instagram melibatkan nilai kerugian sebanyak RM153,759.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut tempat suspek ditahan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya mengesan kewujudan sindiket ini melalui satu akaun Instagram dan setakat ini sebanyak 64 kes sedang disiasat.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket ini ialah mengiklankan pelbagai barangan elektronik pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Pembeli yang berminat akan diarahkan membuat pembayaran melalui akaun bank yang diberikan. Namun, setelah pembayaran dibuat barang yang dijanjikan tidak diterima pembeli,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Kamarudin berkata kedua-dua suspek berusia 32 dan 53 tahun itu sedang direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, sebanyak 15,786 kes penipuan penjualan secara dalam talian atau e-dagang disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM110 juta sejak 2019 hingga semalam.

Mohd Kamarudin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,512 kes dicatatkan pada 2019 melibatkan kerugian RM28 juta, manakala 5,846 kes dengan kerugian RM41 juta direkodkan tahun lepas.

Katanya, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sejumlah 6,428 kes disiasat dengan kerugian RM41 juta.

Beliau berkata dalam usaha mencegah kes-kes sebegini daripada terus berlaku, pihak polis menggesa orang ramai lebih berhati-hati dan berwaspada apabila membuat pembelian secara dalam talian.

“Orang ramai digalakkan membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengenal pasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau sebaliknya,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This