Fahmi ucap takziah kepada keluarga aktivis PKR
KUALA LUMPUR,. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ishak Abd Rahman yang meninggal dunia pada Selasa akibat kemalangan motosikal.
Menyifatkan Allahyarham sebagai sumber inspirasi dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat, Fahmi menerusi hantaran di Facebook mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah dengan pemergian itu.
“Seorang aktivis KEADILAN, Allahyarham adalah sumber inspirasi dalam melaksanakan gerak kerja dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Seorang pejuang yang meluhuri agenda reformasi, banyak masa telah terluang untuk memaknakan perjuangan sehingga ke hari ini.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Saya berdoa agar seluruh keluarga dan kenalan-kenalan Allahyarham tabah dengan ujian ini,” katanya.
–BERNAMA