Gangguan teknikal e-Placement, KKM batal keputusan penempatan 2,245 pegawai perubatan

Gangguan teknikal e-Placement, KKM batal keputusan penempatan 2,245 pegawai perubatan

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Feb lepas, susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.

KKM dalam kenyataan memaklumkan bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin, 17 Mac bermula 3 petang menerusi sistem sama.

Justeru, calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan boleh berbuat demikian melalui Google Form dalam sistem ePlacement dengan tempoh rayuan dibuka dari 17 hingga 23 Mac 2025.

“Hanya rayuan yang dikemukakan dengan dokumen lengkap dalam tempoh ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran.

“Keputusan rayuan akan diumumkan pada Isnin, 28 April 2025 melalui portal Semakan Kerjaya KKM,” menurut kenyataan itu.

KKM turut menyatakan kekesalan atas kesulitan yang dihadapi oleh calon terlibat dan memberi jaminan bahawa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengelakkan isu sama berulang.

Sistem ePlacement yang dibuka pada 3 petang 27 Feb lepas, telah mengalami gangguan teknikal selama satu jam 30 minit menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan Pegawai Perubatan Gred UD10, sekali gus menjejaskan agihan yang telah ditetapkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This