Hartanah Kenyalang peroleh kelulusan Bursa bagi penyenaraian di Pasaran ACE suku kedua 2025

Hartanah Kenyalang peroleh kelulusan Bursa bagi penyenaraian di Pasaran ACE suku kedua 2025

KUALA LUMPUR,. Hartanah Kenyalang Bhd yang berpangkalan di Sarawak memperoleh kelulusan Bursa Malaysia untuk tawaran awam awal (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE.

Dalam kenyataan pada Isnin, syarikat itu menjelaskan pihaknya menyasar untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesar sebanyak 620 juta saham biasa di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku kedua 2025.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang Seah Boon Tiat berkata susulan kelulusan itu, syarikat semakin hampir dalam usaha IPO untuk menjadi entiti senaraian awam di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

“Kelulusan ini hadir pada masa yang tepat memandangkan kami telah bersedia untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang luas dalam industri pembinaan Malaysia, terutama di Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Hartanah Kenyalang ialah syarikat pegangan pelaburan secara prinsipnya manakala anak syarikatnya, Hartanah Construction Sdn Bhd menjalankan perniagaan perkhidmatan pembinaan bangunan dengan menumpukan kepada bangunan institusi seperti sekolah dan bangunan awam lain serta bangunan bukan kediaman selain perkhidmatan pembinaan infrastruktur dengan tumpuan kepada jambatan dan jalan raya.

Seah berkata pihaknya merancang untuk menggunakan sebahagian hasil IPO bagi membeli enam unit mesin pengorek baharu menggantikan beberapa mesin yang lama serta meningkatkan kapasiti serta produktiviti pembinaan.

Syarikat juga merancang untuk membeli perkakasan berkaitan teknologi maklumat (IT) dan langganan perisian IT di samping perkhidmatan penyimpanan awan untuk mempertingkat aktiviti pentadbiran dan keupayaan pengurusan projek.

“Kami turut menyasar untuk melabur dalam sistem pemodelan maklumat bangunan bagi memudahkan rancangan kami berkembang dalam menawarkan perkhidmatan reka bentuk dan bina kepada segmen perkhidmatan pembinaan bangunan dan pembinaan infrastruktur,” katanya.

IPO Hartanah Kenyalang melibatkan tawaran awam sebanyak 198.4 juta saham biasa meliputi terbitan awam sebanyak 120.9 juta saham baharu dan tawaran jualan 77.5 juta saham sedia ada, yang secara keseluruhan mewakili 32.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar syarikat sebanyak 620.0 juta saham biasa.

Daripada 120.9 juta saham baharu itu, 31.0 juta saham baharu akan dibuka untuk permohonan umum, dan 18.6 juta saham baharu akan dibuka untuk permohonan oleh kalangan pengarah dan pekerja yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Baki 71.3 juta saham baharu akan diperuntukkan untuk tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.

Terdapat juga tawaran jualan 77.5 juta saham sedia ada, yang akan diperuntukkan melalui tawaran persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti, seperti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

CATEGORIES
TAGS
Share This