Jerebu: Ujian Mendengar PT3 boleh ditangguh jika IPU lebih 200

KUALA LUMPUR,. Kawasan berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 boleh menangguhkan ujian mendengar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Al-Lughah al-Arabiah Al-Muasirah sehingga 31 Oktober ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Kementerian Pendidikan memaklumkan ujian tiga kertas PT3 itu, masing-masing dijadualkan berlangsung esok, Selasa dan Rabu ini, namun tertakluk kepada pertimbangan pengurusan sekolah dan pihak berkaitan untuk ditunda, susulan faktor jerebu yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun, ujarnya kawasan yang tidak terjejas jerebu perlu meneruskan ujian pendengaran tiga kertas berkenaan mengikut tarikh ditetapkan dan dipantau secara ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.

“Kementerian amat memahami kesukaran dihadapi pihak sekolah, murid dan ibu bapa akibat masalah jerebu ketika ini. Justeru, PPD, JPN dan pengurusan sekolah dimaklumkan mengenai langkah berkaitan ketika mengendalikan ujian.

“Pihak berkaitan turut diingatkan supaya terus memantau maklumat bacaan IPU,” kata kementerian tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, JPN, PPD termasuk pihak pengurusan sekolah di seluruh negara telah dimaklumkan akan langkah-langkah perlu diambil ketika menjalankan ujian ini dan diingatkan secara berterusan memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )