KAFA kini kena langsai hutang yuran guaman Mat Yo

KAFA kini kena langsai hutang yuran guaman Mat Yo

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bukan saja berdepan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, malah turut ‘mewarisi’ hutang lapuk membabitkan perkara lain.

Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendedahkan pihaknya kini juga diminta melangsaikan yuran guaman membabitkan kes perpindahan kontroversi Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Ta’zim (JDT) tujuh tahun lalu.

Katanya, yuran guaman berjumlah RM50,000 kini dituntut oleh syarikat guaman yang terbabit dalam rundingan kes Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo.

“Ada satu kes 2013, satu kontroversi yang berlaku ketika itu, JDT nak ambil Mat Yo. Jadi timbul sedikit kontroversi hingga Kelantan lantik peguam, JDT pun lantik peguam.

“Yuran guaman pada 2013 tidak dibayar oleh KAFA waktu itu dan baru-baru ini kita terima surat daripada firma guaman tuntut bayaran RM50,000 dalam kes rundingan Mat Yo berpindah ke JDT.

“Jadi KAFA hari ini kena selesaikan yuran guaman sebanyak RM50,000 kerana kes yang berlaku tujuh tahun lalu.

“Itu sebagai satu contoh kecil bagaimana hutang-hutang tertunggak dan bertambah sampailah apa yang ada pada hari ini. Tapi kita masih berusaha selesaikan,” katanya kepada BH Sukan.

Kontroversi perpindahan Mat Yo itu selesai selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan pemain berusia 34 tahun itu perlu membayar RM299,000 sebagai tebus kontrak kepada Kelantan.

Kelantan sebelum ini dilaporkan menanggung bebanan hutang lapuk kira-kira RM7 juta dengan lebih RM2 juta sudah diselesaikan KAFA.

CATEGORIES
TAGS
Share This