Kerajaan Madani komited tambah baik infrastruktur di Sabah – PM

Kerajaan Madani komited tambah baik infrastruktur di Sabah – PM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan Madani akan menoktahkan kesengsaraan yang dialami rakyat terutama di Sabah khususnya dari segi kemiskinan sosioekonomi melalui penambahbaikan dan kewujudan baharu membabitkan inftrastruktur kegunaan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara rancangan jangka pendek dan jangka panjang ialah memilih kontraktor bersesuaian bagi tujuan membina klinik, hospital, jalan raya, menangani masalah air, hasil tani, keperluan usahawan desa serta penjaja yang memerlukan intervensi.

“Kerajaan Madani tegas untuk membantu rakyat hatta apabila berada di Negeri Di Bawah Bayu ini.

“Saya singgung (sentuh) keperluan laporan terkini berkaitan 25 projek sakit yang memerlukan kerjasama dan perhatian pihak terkait sewajarnya,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar, yang tiba di Kota Kinabalu pada 11.40 malam tadi, memulakan lawatan kerjanya pagi ini dengan menghadiri taklimat pembangunan negeri Sabah di Menara Kinabalu diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya.

Semasa taklimat itu, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah meneliti beberapa permintaan, keluhan, aduan, rintihan meliputi keperluan dan keutamaan rakyat yang mendesak.

Beliau kemudian menghadiri perjumpaan khas bersama Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah dan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This