Ketua Pemuda UMNO bebas COVID-19

KUALA LUMPUR,. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bebas daripada wabak COVID-19.

Menurut Asyraf, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital keputusan ujian saringan COVID-19 yang dibuat dua hari lalu negatif.

“Alhamdulillah, menerima keputusan ujian saringan Coronavirus (COVID-19) awal pagi ini yang menunjukkan keputusan NEGATIF.

“Memang mendebarkan kerana terima telefon daripada pihak hospital pukul 1 pagi waktu saya sudah tidur. Bangun pukul 5.30 pagi, menyedari ada ‘miss call’ daripada hospital, terus sahaja saya telefon dan dimaklumkan keputusan ujian saringan,” kata beliau.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkongsi berita itu di akaun sosial medianya pada pagi ini.

Dalam perkongsian itu juga, Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada semua yang bertanya khabar dan mengambil berat mengenai ujian saringan yang dilakukan oleh beliau termasuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya mengambil kesempatan di sini untuk pertamanya menjunjung kasih kepada KDYMM SBP YDP Agong atas doa dan keprihatinan baginda kepada saya dan keluarga, kepada semua rakan-rakan yang telah mendoakan kesejahteraan saya dan keluarga dan kepada kakitangan Hospital KPJ Selangor yang bekerja tanpa mengira masa dalam menangani wabak COVID-19 ini,” tulis Asyraf lagi.

Asyraf turut memberitahu, beliau dan keluarga akan berada di rumah dan menjalani ‘kuarantin diri’ hingga selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

Pada Selasa, Asyraf menjalani ujian pemeriksaan COVID-19 selepas mendapat berita Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen disahkan positif COVID-19.

Kedua-dua mereka pernah diundang sebagai ahli panel dalam forum Wacana Sinar Harian pada 12 Mac lalu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )