Khazanah jual aset ‘tidak menguntungkan’ – PM Mahathir

Khazanah jual aset ‘tidak menguntungkan’ – PM Mahathir

KUALA LUMPUR,. Khazanah Nasional Bhd akan menjual aset yang “tidak menguntungkan kepada kami” untuk mengumpul dana bagi membayar hutang negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, katanya tiada keputusan dibuat bagi Khazanah menjual seluruh asetnya.

“Tidak, mereka hanya mengkaji sama ada mereka perlu (jual) atau tidak, bagaimanapun tiada keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di sini hari ini.

Beliau berkata aset-aset yang tidak berbaloi disimpan akan dijual untuk mengumpul dana bagi membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Perlu ingat bahawa kerajaan sebelum ini telah meminjam lebih U$1 trilion yang menjadi beban kepada kami. Mereka meminjam dan wang itu tidak dilaburkan.

“Jika wang tersebut dilaburkan, kami (akan dapat) pergi ke syarikat berkaitan dan mendapatkan semula wang itu, tetapi kami tidak tahu di mana wang tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata Khazanah pada mulanya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera tetapi ia telah pergi lebih daripada itu.

“Itu bukan mandat asal Khazanah tetapi kini kami cuba untuk kembali kepada objektif asal,” katanya.

Dr Mahathir berkata pada masa ini kerajaan perlu membayar hutang yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada cukai atau menjual aset.

“Itu merupakan beban yang ditinggalkan oleh Najib dan kini sudah tentu beliau banyak bercakap. Bagaimanapun, semua perkara ini telah dilakukan termasuk membeli kapal dari China. Ia bukan keputusan kami. Ia bodoh, tetapi beliau merujuk kepada dirinya sendiri, kerana beliau yang membelinya, bukan saya,” katanya.

Dilaporkan Najib sebelum ini mengkritik keputusan kerajaan sedia ada mengenai penjualan aset oleh Khazanah baru-baru ini, termasuk menjual Pusat Perubatan Prince Court.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This