KK, Tawau, Lahad Datu Penyumbang Peningkatan COVID-19
KOTA KINABALU,. Sabah mengenal pasti beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu sebagai kawasan tumpuan serta penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, segala pergerakan dan aktiviti di lokasi panas itu akan dihadkan serta-merta bagi menangani jumlah peningkatan kes COVID-19 di negeri tersebut.
Malah, kata beliau, antara langkah yang diambil kerajaan negeri adalah menghentikan pengoperasian serta-merta melibatkan ladang-ladang dan kilang-kilang di Lahad Datu dan Kalabakan (Tawau) selain menutup operasi Barter Trade di antara Pantai Timur Sabah dengan negara jiran.
“Bagi Kota Kinabalu pula, pergerakan di Pulau Gaya turut akan dihadkan serta-merta,” katanya katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara peringkat Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Mengulas lanjut, tambah beliau, sebuah bilik kawalan telah ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang akan beroperasi 24 jam sehari selain mewujudkan Pusat Perintah COVID-19 Sabah bagi mengawal setiap perkembangan berhubungnya dari semasa ke semasa.
“Contohnya kes di Ranau, ianya datang daripada saya ingat Thailand, yang mana mereka membuat lawatan ke Thailand lepas itu dikenal pasti positif dan ada tidak ada hubung kait dengan tabligh,” katanya.
Untuk rekod, baru-baru ini, Polis Kontinjen Sabah mendedahkan lebih 300 daripada 1,000 peserta Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling dari Sabah belum tampil menjalani pemeriksaan saringan COVID-19.